2. Perkahwinan dalam Islam

Pernikahan yang Mengikut Syariat Islam


Pengertian Nikah
Nikah dari segi bahasa ialah bersatu dan berkumpul. Manakala dari segi syarak  pula ialah satu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh dan berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
Dinamakan nikah kerana ia mengumpulkan dua manusia dan menyatukan di antara satu sama lain. Orang Arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad, juga dengan makna persetubuhan serta berseronok-seronok. Walaupun begitu makna hakiki bagi kalimah nikah ialah akad dan makna secara simboliknya (majaz) ialah persetubuhan.
Secara umumnya, Al-Quran menggunakan perkataan nikah dengan makna akad dan bukannya persetubuhan.
Firman Allah S.W.T.:
يأيّها الذين ءامنوا إذانكحْتم المؤمنات ثمّ طلّقتموهنّ من قبل أن تمسّوهنّ فمالكم عليهنّ من عدّة تعتدّونها
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menikahi (mengahwini) perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan sebelum kamu menyentuhnya, tidaklah perlu kamu menghitung edahnya.”                                                   (Al-Ahzab: 49)
Yang dimaksudkan dengan kalimah ‘menikahi perempuan yang beriman’ ialah kamu mengadakan akad perkahwinan dengan perempuan yang beriman. Ini berpandukan firman Allah selepas itu yang bermaksud: ‘Kemudian kamu ceraikan sebelum kamu menyentuhnya‘. Maksud menyentuhnya ialah menyetubuhinya.
                                                                 
Mengapa Pernikahan Disyariatkan
Islam telah mensyariatkan pernikahan serta meletakkan peraturan-peraturan yang jelas dan tepat. Peraturan-peraturan ini diasaskan atas prinsip-prinsip kukuh yang menjamin kesejahteraan masyarakat, kebahagian rumahtangga, penyebaran kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

Dalil-dalil Disyariatkan Perkahwinan
Ayat-ayat Al-Quran
وانكحواالأياما منكم والصالحين من عبادكم وإمآءكم
Ertinya: “Dan kahwinilah orang-orang yang bersendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan hamba sahaya perempuan yang soleh.”
                                                                                                                                    (An-Nur: 32)
Maksud “orang-orang yang bersendirian” ialah perempuan-perempuan yang tidak mempunyai suami dan lelaki-lelaki yang tidak mempunyai isteri.
Hadis
يا معْشر الشّباب من اسْتطاع الباءة فليتزوّج فإنّه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصّوم فإنّه له وجاء.
Ertinya: “Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan hendaklah dia berkahwin, kerana perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Sesiapa yang tidak berkemampuan hendaklah dia berpuasa, kerana berpuasa adalah pendindingnya.”
Maksud berkemampuan ialah mampu bersetubuh serta mampu menyara isteri. Maksud pendinding ialah penyekat keinginan untuk bersetubuh.
       (Riwayat Bukhari dalam kitab nikah)
Ijmak Ulama’
Ulama’ di sepanjang zaman bersepakat bahawa perkahwinan merupakan syariat Allah.

Galakan Berkahwin
Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan kerana perkahwinan mempunyai faedah yang besar kepada individu dan masyarakat.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة.
Ertinya: “Dunia adalah bahan berseronok dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan yang solehah.”
                                                                                 (Riwayat Muslim dalam kitab penyusuan)
اربع من سنن المرسلين الحياء والتعطر والسواك والنكاح.
Ertinya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul iaitu malu, memakai wangian, bersugi dan berkahwin.”
                                                                                     (Riwayat At-Tarmidzi dalam kitab nikah)



Hikmat Perkahwinan Disyariatkan
Menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh Allah.
Islam telah mensyariatkan perkahwinan bagi menyahut seruan fitrah oleh Allah. Ia merupakan sebuah tuntutan malahan membantu mengelakkan manusia membujang dan hidup seperti seorang rahib. Abi Samrah r.a. menyatakan bahawa : “Nabi melarang daripada hidup membujang.” Saad bin Abi Waqas R.A. berkata :“ Rasulullah telah menolak permohonan Osman bin Maz’un untuk hidup membujang. Kalaulah Rasulullah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.”
Islam berpendirian sederhana dengan memenuhi keinginan fitrah manusia. Malahan mengatur supaya berperanan baik dalam melahirkan keturunan manusia. Serta memastikan kesinambungan kehidupan manusia.
Melahirkan keturunan yang soleh dan remaja yang berakhlak untuk masyarakat Islam
Islam menggalakkan umatnya berketurunan ramai. Ini demi melahirkan masyarakat Islam yang disegani dan digeruni. Sabda Rasulullah SAW :
تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القبامة
Ertinya :
“ kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari akhirat.”

Islam juga menyeru wali supaya mengahwinkan anak lelaki dan perempuan mereka. Firman Allah Taala :
وأنكحوا الأياماى منكم والصالحين من عبادكم وإمائكم إن يكونوا فقراء يغنهم الله من فضله والله واسع عليم
Ertinya :
dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada  mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurniaNya), lagi amat mengetahui .”                        (An-Nur: 32)
Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
Perkahwinan yang syar’ie akan menghasilkan ketenangan jiwa dan ketenteraman diri. Firman Allah Taala :
ومن ءاياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورهمة إن في ذالك لأيات لقوم يتفكرون
 Ertinya : “ dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.“                                                      (Ar-Rum: 21)
Suami isteri akan menjaga kemuliaan, kehormatan, memberikan kerehatan serta kebahagiaan kepada pasangan masing-masing.

Menjaga akhlak dari runtuh dan rosak
Untuk menjaga akhlak dan memelihara daripada rosak, Rasulullah SAW bersabda:
إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فأنكحوه إلا تفعلوا تكن فتنة في الأرض وفساد
Ertinya : “apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu             mengahwininya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.”
Menjaga kesempurnaan dan kesejahteraan keturunan manusia.
Islam melarang lelaki dan perempuan hidup bersama melainkan dengan ikatan perkahwinan yang syar’ie. Juga memelihara kewujudan manusia dengan perkahwinan. Allah menghendaki hamba-Nya menikmati kebaikan dan di jauhkan daripada keburukan. Firman Allah Taala :
إن الله بالناس لرءوف رحيم
Ertinya : “ sesungguhnya Allah amat menyintai dan mengasihi manusia”
                                                                                                                           (Al-Baqarah: 143)
Meluaskan medan persaudaraan dan membina prinsip bekerjasama
Ia meluaskan ikatan persaudaraan dan mewujudkan ikatan baru dan kasih sayang. Dapat melahirkan kerjasama di antara suami isteri. Islam merupakan agama toleransi dan mensyariatkan bahawa perkahwinan untuk merealisasikan semua maslahat.

RUKUN NIKAH DAN SYARAT-SYARAT KAHWIN

Terdapat beberapa rukun nikah dan syarat-syarat kahwin yang telah disyariatkan dalam agama Islam. Antara rukun nikah mestilah pertamanya iaitu bakal suami dan bakal isteri. Seterusnya, haruslah mempunyai wali besertakan dua orang saksi. Akhir sekali, perkara yang paling penting iaitu berlakunya Ijab dan Qabul dalam sesuatu perkahwinan.

BAKAL SUAMI DAN ISTERI

Lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin mesti memenuhi syarat seperti yang telah disyariatkan dalam agama Islam. Syarat bagi bakal suami itu adalah beliau mestilah beragama Islam. Seterusnya, suami itu wajiblah seorang lelaki. Lelaki tersebut tidak beristeri empat dalam satu masa. Lelaki tersebut juga bukan dalam sedang mengerjakan umrah dan ihram. Selain itu, lelaki itu juga bukan mahram yakni yang bukan darah daging kepada perempuan yang ingin dikahwini.

Manakala bagi syarat bakal isteri, isteri itu mestilah beragama Islam ataupun seorang ahli kitab. Isteri itu juga seorang perempuan dan bukan telah menjadi milik orang yakni bukan isteri orang. Isteri itu juga Bukan dalam mengerjakan ihram haji atau umrah. Seterusnya, isteri itu juga bukan dalam tempoh iddah  isitu iddah raj’ie. Syarat akhir bagi isteri ialah mesti bukan mahram kepada lelaki yang ingin dikahwini.
  
WALI

Dalam sesuatu perkahwinan itu, haruslah memiliki wali. Wali nikah merupakan orang yang berkuasa megahwinkan seseorang perempuan.Terdapat beberapa syarat  menjadi seorang wali dalam perkhawinan iaitu mestilah beragama Islam dan seorang lelaki yang baligh dan berakal. Wali tersebut juga seorang yang merdeka. Seterusnya, wali tersebut tidak dalam ihram haji dan tidak terhalang daripada membelanjakan hartanya. Wali nikah terbahagi kepada dua. Pertama sekali, wali nasab. Wali nasab adalah mereka yang berkuasa mengahwinkan seseorang perempuan mengikut keturunan. Ia juga terbahagi kepada dua aiaitu wali kujbi dan wali bukan mujbir. Selain itu, wali hakim,iaitu mereka yang diberi kuasa oleh pemerintah untuk mengahwinkan yang tiada wali atau walinya hilang kelayakan. Wali ini juga dikatakan sebagai pengganti. Jika sesorang ingin berkahwin, beliau mesti mengambil wali nasab mengikut susunan keutamaan. Jika wali tiada langsung atau tidak memenuhi syarat, barulah boleh berpindah kepada wali hakim.

Susunan wali mengikut nasab keutamaan adalah seperti berikut:.
(i)           Bapa

(ii)         Datuk 
(iii)        Saudara lelaki seibu sebapa
(iv)         Saudara lelaki sebapa
(v)         Anak saudara lelaki daripada lelaki seibu sebapa sehingga keatas

(vi)         Anak saudara lelaki daripada lelaki sebapa sehingga keatas
(vii)        Bapa saudara seibu sebapa hingga keatas
(viii)      Bapa saudara sebapa hingga keatas
(ix)         Anak lelaki daripada bapa saudara seibu sebapa(sepupu)
(x)          Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sepupu)

Bapa dan datuk adalah wali mujbir , sementara bakinya adalah wali bukan mujbir.Wali mujbir merupakan mereka yang boleh mengahwinkan anak gadis tanpa persetujuannya.Namun, kuasa mereka tidak mutlak. Ini kerana terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi jika ingin mengahwinkan anaknya.

Syarat-syarat seorang wali jika ingin mengahwinkan anak mereka adalah anak perempuan mereka itu masih gadis,bukannya janda. Seterusnya, bakal suami setaraf dengan anaknya dari segi keturunan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Selain itu, bakal suami bukan daripada orang yang sukar untuk bergaul seperti lelaki buta atau uzur (kurang upaya). Dalam pada itu, tidak wujud permusuhan yang jelas antara wali mujbir dengan anak gadisnya. Akhir sekali, tiada permusuhan antara anak gadis dengan bakal suaminya.

Sekiranya wali mujbir melanggar syarat tersebut, hukum perkahwinan tetap sah. Namun, wali tersebut perlu ingat bahawa perbuatannya adalah haram dan berdosa (Al – Syarbini 1978). Terdapat perbezaan antara wali nasab dan wali hakim. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan antara wali nasab dan wali hakim. 

WALI NASAB
DARI SEGI
WALI  HAKIM
Orang yang berkuasa mengahwinkan seseorang perempuan mengikut keturunan
Maksud
Orang yang diberi kuasa oleh pemerintah untuk mengahwinkan perempuan yang tiada wali
Bapa dan  datuk
contoh
Kadi dan imam
Wali mujbir boleh memaksa gadis untuk berkhawin
kuasa
Tidak boleh paksa sesiapa untuk berkahwin



Berdasarkan jadual di atas ,kuasa mengahwinkan seorang perempuan hanya boleh berpindah kepada wali hakim berdasarkan beberapa faktor - faktor tertentu. Pertama sekali, tidak terdapat wali nasab yang mengikut susunan. Selain itu, wali tidak dapat dikesan atau tidak diketahui hidup atau mati. Di samping itu, wali tinggal jauh lebih dua marhala dan sukar untuk di hubungi. Seterusnya, Wali dalam tahanan penjara dan wali dalam mengerjakan ihram atau umrah.akhir sekali, wali enggan mewalikan perempuan itu tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak.

SAKSI
Tanpa saksi, maka tidak sempurna dan tidak sah sesuatu perkahwinan  itu. Sesuatu perkahwinan memerlukan dua orang saksi yang melihat akad nikah itu berlangsung. Saksi diperlukan bagi menjamin sesuatu perkhawinan itu sah atau tidak dan mengelak daripada berlakunya fitnah. Mereka boleh memberi keterangan sekiranya berlaku pertikaian berhubung dengan kesahihan majlis akad nikah tersebut.
Syarat – syarat untuk menjadi saksi adalah mestilah beragama Islam dan seorang lelaki yang baligh dan berakal. Selain itu, lelaki itu juga bersifat adil, iaitu tidak pernah melakukan dosa besar. Dalam pada itu, saksi tersebut memiliki pancaindera yang sempurna dan bukan seorang yang kurang upaya. Akhir sekali, memahami lafaz ijab dan qabul bagi kesahihan.

IJAB DAN QABUL

Ijab dan qabul termasuk dalam rukun nikah. Perkahwinan dianggap sah apabila diakadkan oleh seorang wali atau wakilnya dan dipersutujui oleh bakal suami atau wakilnya. Ijab adalah lafaz yang diucapkan oleh wali. Contonhya, wali atau wakil wali berkata, “Aku nikahkan engkau dengan Fulan bin Fulan dengan mas kawin rm100 tunai” .Qabul pula adalah jawapan penerimaan yang diucapkan oleh bakal suami contohnya, “Aku terima nikahnya Fulan binti Fulan dengan mas kawin rm100 tunai”

Ijab biasanya mendahului qabul. Namun, sah akad jika menyebut qabul dahulu. Ijab dan qabul mempunyai syarat-syarat tertentu, iaitu Ijab dilafazkan oleh wali atau wakilnya,sementara qabul dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya. Di samping itu, lafaz Ijab dan Qabul mestilah disebut dengan jelas dan diperdengar oleh semua orang. Selain itu, Ijab dan qabul hanya berlaku dalam satu majlis sahaja. Dalam pada itu, lafaz Ijab dan qabul tidak boleh terputus yang lama atau perkataan yang tidak berkaitan dan tidak dibataskan dengan tempoh masa yang lama. Akhir sekali, penggunaan bahasa yang  jelas difahami oleh wali, suami dan dua orang saksi ketika dalam majlis tersebut.


1 comment:

  1. salam...ibu saya berkahwin di Batam,berapakah marhala nya dari johor bahru.perkahwinan nya diragui sama ada jurunikah itu bertauliah atau tidak.Atuk saya sudah tiada,bermakna abang kepada ibu saya adalah wali ikut nasab.Tetapi beliau tidak hadir ketika akad nikah itu berlangsung.Buku nikah juga palsu..sah atau tidak?apakah yang perlu saya lakukan....

    ReplyDelete